SIBU - SIBU: Petra Jaya Homemade Burger & Catering dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee baru-baru ini. Perniagaan restoran tersebut di bawah kendalian Koperasi Usahawan Bumiputera Sibu Berhad (KUBS). Perasmian turut disertai Persatuan Ibu Tunggal Sarawak dengan seramai 15 orang ahli dan ahli lembaga KUBS.
Artikel ini turut diudara di Utusan Borneo pada 6 Januari 2016 : Rujuk Utusan Borneo Online .
Pemilik restoran, Bujang Wen berkata perasmian cawangan baharu itu merupakan kali kedua dilakukan setelah kali pertama pada 2013. Menurutnya, sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan memungkinkan restoran itu bertahan dan maju di samping kendalian tadbir urus oleh KUBS yang berkesan.
Pengerusi KUBS Musttakin Bokhari berkata KUBS giat meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengurusan koperasi dengan mengikuti kursus-kursus anjuran Maktab Koperasi Malaysia yang turut membantu. Pada majlis sama, pemberian sagu hati kepada ibu-ibu tunggal turut dilakukan dan disampaikan oleh Dr Annuar.
Di samping itu, Dr Annuar turut memberi sumbangan ikhlas kepada seorang warga tua, Buang Abdullah pada majlis sama. Aiskrim gula apong percuma turut diberi kepada pelanggan kanak-kanak yang hadir pada majlis perasmian tersebut. Aiskrim gula apong merupakan produk utama KUBS selain Homemade Burger yang boleh didapati di Petra Jaya Homemade Burger & Catering.
Selain burger dan ais krim, makanan seperti nasi goreng, pelbagai mi goreng, mi hun goreng dan banyak lagi turut menjadi kegemaran pelanggan premis makanan tersebut. Waktu operasi adalah dari jam 7 pagi hingga 4 pagi, Oleh itu orang ramai dijemput datang beramai-ramai ke Petra Jaya Homemade Burger & Catering untuk menikmati juadah disediakan. Bukan itu sahaja, khidmat katering untuk pelbagai jenis majlis turut disediakan dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 084-317852 dan 019-8756677.
Blogger Comment